Pengauditan dijalankan antara Ogos hingga November 2013 mendapati pengurusan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu adalah memuaskan dari segi prestasi pengajaran dan pembelajaran.
SMAN merupakan institusi pendidikan menengah milik kerajaan negeri Terengganu dan diuruskan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Masjid (Jabatan) di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Laporan yang disediakan Bernama semalam menyebut, pihak audit mengesyorkan pencapaian prestasi SMAN boleh ditingkatkan melalui penambahbaikan beberapa kelemahan seperti jadual perancangan dan laporan pelaksanaan program kecemerlangan pelajar yang lebih terperinci.
Pada tahun 2006, kerajaan negeri telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan bagi memperkasakan pengurusan SMAN dengan menjadikannya Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Melalui MoU itu, SABK menerima sumbangan daripada kerajaan Persekutuan seperti bantuan perkapita, gaji guru dan kakitangan, makan dan minum penghuni asrama, perkhidmatan kebersihan dan keselamatan sebagimana ditetapkan di bawah Akta Pendidikan 1996.
Selain itu SABK turut melaksanakan Kurikulum Kebangsaan mengikut standard ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan selain melaksanakan Kurikulum Pelajaran Agama merangkumi Kurikulum Pelajaran Menengah Al-Azhar (Thanawi) dan Kurikulum I’dadi yang ditentukan oleh kerajaan negeri.
Terdapat 10 buah SMAN di Terengganu terdiri daripada sebuah sekolah bertaraf Sekolah Berasrama Penuh dan sembilan Sekolah Menengah Agama Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan