-->

SEKOLAH MENENGAH AGAMA TERENGGANU

Program Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalan satu usaha murni kerajaan untuk membantu dan memperkasakan sekolah - sekolah agama di Malaysia. Program ini pernah dicadangkan pada tahun 2002 oleh Menteri Pelajaran dan dicadangkan semula oleh Jawatankuasa Khas Tan Sri Murad pada Ogos 2004.

Halaman

  • Laman utama
  • LOGO SMAT
  • SEJARAH SMASID
  • SEJARAH SMAKH KUALA TERENGGANU
  • SEJARAH SMASZA LADANG
  • SEJARAH SMA(A)SZA BATU BUROK
  • SEJARAH SMAM KUALA BERANG
  • SEJARAH SMA MAARIF BESUT
  • SEJARAH SMA AL-FALAH
  • SEJARAH SMA MARANG
  • BANGUNAN SMA TERENGGANU SEKARANG ATAU DAHULU

Rabu, 25 Jun 2014

6,000 PELAJAR MOHON SEKOLAH AGAMA

SEBAHAGIAN daripada pelajar yang menyertai Kem Imam Muda anjuran JHEAT di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan, Wakaf Tengah, Kuala Terengganu, kelmarin. – UTUSAN/TENGKU FAUZIAH

KUALA TERENGGANU 9 Dis. – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima lebih 6,000 permohonan pelajar yang tamat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk ditempatkan di 10 buah sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri tahun depan.
Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Murid JHEAT, Razak Jusoh berkata, permohonan yang diterima itu melebihi 200 peratus berbanding kekosongan tempat untuk pelajar tingkatan satu di sekolah-sekolah berkenaan yang hanya menyediakan 1,525 tempat.
Katanya, daripada jumlah tempat yang disediakan itu, 125 pelajar akan ditempatkan di sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Agama (SMA) (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk.
”Manakala bakinya 1,400 tempat lagi akan disediakan di sembilan buah sekolah menengah agama lain di seluruh negeri,” katanya selepas majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Kem Imam Muda Sekolah Menengah Agama Terengganu di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan, Wakaf Tengah, di sini semalam.
Sekolah-sekolah menengah agama itu adalah SMA Maarif, Besut; SMA Ittifakiah, Jerih; SMA Setiu; SMA Khairiah Kuala Terengganu; SMA Mahmudiah, Kuala Berang; SMA Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu; SMA Sultan Ismail Dungun dan SMA Al-Falah, Kemaman.
Menurut Razak, disebabkan permohonan terlalu ramai, JHEAT akan mengadakan ujian saringan Ahad ini kepada calon yang akan ditempatkan di sembilan sekolah menengah agama, manakala pada 15 Disember untuk calon SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk sebelum memulakan sesi persekolahan awal tahun depan.
Katanya, pelajar yang memperolehi keputusan 5A dalam UPSR layak memohon ke sekolah menengah agama berasrama penuh itu, manakala sekolah menengah agama lain sekurang-kurangnya 1A berdasarkan kelayakan ditetapkan oleh sekolah- sekolah berkenaan selain anak kelahiran Terengganu.
”Sebagai contoh, SMA Khairiah dan SMA Sultan Zainal Abidin Ladang memerlukan pelajar memperolehi sekurang-kurangnya 3A dan 2B dalam UPSR,” katanya.
Beliau berkata, bilangan calon yang berminat menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah-sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri meningkat setiap tahun, tetapi bilangan yang diterima adalah terhad.
Katanya, JHEAT kini hanya mempunyai 57 kelas di 10 sekolah agama dan setiap kelas hanya dapat menampung antara 35 hingga 40 orang.
Bagaimanapun kata Razak, pihaknya sedang berusaha untuk menambah bilangan kelas di sekolah-sekolah agama terbabit tetapi bergantung kepada persekitaran dan keluasan kawasan sekolah.
Seramai 120 pelajar yang selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daripada 10 buah sekolah menengah agama tersebut menyertai Kem Imam Muda yang diadakan selama enam hari itu.
Dicatat oleh Unknown di 6:38 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Dilema guru Sekolah Menengah Agama negeri Terengganu

 BERMULA November 2007, guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu (SMAN Terengganu) telah menerima tawaran pertukaran pelantikan menyertai Kementerian Pelajaran melalui opsyen, hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelajaran melalui program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Hampir 98 peratus guru SMAN Terengganu menerima tawaran tersebut dengan perasaan yang berbeza-beza. Ada yang menerimanya dengan senang hati kerana ingin bernaung di bawah payung yang lebih besar, yang memungkinkan peluang kenaikan pangkat lebih luas.
Ada yang seperti "pucuk dicita, ulam mendatang", iaitu Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditawarkan jawatan tetap.

Sementara satu kumpulan yang lain ialah kumpulan yang mempunyai perasaan yang berbelah-bahagi iaitu sebilangan besar guru tetap yang telah lama berkhidmat di bawah kerajaan negeri.
Mahu tidak mahu mereka turut menerima tawaran pertukaran pelantikan tersebut ekoran daripada kata-kata seorang 'pegawai' dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang kononnya pihak kerajaan negeri tidak berminat lagi untuk menguruskan hal ehwal SMAN.
Sekarang sudah hampir tiga tahun kami berada di bawah pentadbiran Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia. Harapan kami yang menggunung tinggi sebelum ini beransur-ansur menjadi landai.

Ini kerana perkara-perkara yang dijanjikan semasa pertemuan dengan pegawai dari Kementerian Pelajaran lima tahun lalu masih belum jadi kenyataan.
Kalau sebelum ini kami diberi jaminan tidak akan ditukarkan tanpa persetujuan, semuanya kini hanya janji kosong.

Pada 2010, berlaku pertukaran besar-besaran melibatkan guru tetap yang telah lama berkhidmat.
Lebih malang, ramai yang diarahkan bertukar keluar daerah yang jaraknya melebihi 50 kilometer. Alasannya sekolah berkenaan terlebih guru, sedangkan pada masa sama pihak kementerian telah membawa masuk guru-guru mereka ke Sekolah Menengah Agama tersebut. Ini tidak akan berlaku sekiranya kami masih berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri (hanya berlaku jika ada kesalahan tatatertib).
Selain itu, soal pelarasan gaji dan kenaikan pangkat yang dijanjikan pun masih belum dapat diselesaikan oleh pihak BPI. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah pula mula mencari peluang untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di SMAN.

Sekolah-sekolah menengah agama negeri sekarang ini bagaikan sebuah kapal yang mempunyai dua nakhoda. Pihak sekolah terpaksa mengikut program yang dianjurkan oleh kedua-dua pihak.
Sebagai contoh, kami mempunyai/menyertai program sukan Sekolah Agama Negeri (MASMAT), dan pada masa yang sama kami juga diminta menyertai sukan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (MSSMT). Ini memberi beban kepada pelajar dan guru yang terlibat kerana terpaksa menghabiskan masa untuk menyertai dua acara sukan yang sepatutnya boleh dijadikan satu.

Sesetengah pengetua pula dilihat lebih bersifat menjaga 'tengkuk' sendiri apabila hanya memperjuangkan kedudukan serta pangkat mereka apabila berurusan dengan pihak BPI. Bagaimanakah dengan kedudukan dan kenaikan pangkat guru-guru SMAN Terengganu yang masih tidak berkesudahan ini?
Sehubungan itu diharap pihak yang bertanggungjawab agar dapat memberi perhatian yang serius terhadap dilema para guru SMAN Terengganu demi memartabatkan kecemerlangan pendidikan di sekolah menengah agama negeri Terengganu ini.

Dicatat oleh Unknown di 6:23 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Terengganu Naikkan Biasiswa Pelajar Sekolah Menengah Agama Mulai Mei

KUALA TERENGGANU, 23 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan menaikkan kadar biasiswa pelajar sekolah menengah agama milik kerajaan negeri mulai Mei ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata menerusi keputusan yang dicapai dalam mesyuarat mingguan Exco hari ini, pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima akan menerima RM840 setahun manakala Tingkatan Enam Rendah dan Atas mendapat RM1,080 setahun.

"Kalau dulu kita membelanjakan lebih RM1 juta iaitu RM50 sebulan bagi setiap penerima (Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima) sekarang kita naikkan kepada RM70 (sebulan).

"Bagi kelas Enam Atas dan Enam Bawah, kita naikkan daripada RM70 kepada RM90," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara anak syarikat kerajaan negeri Eastern Pacific Industrial Corp (EPIC) Berhad dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata mesyuarat kerajaan negeri juga sebulat suara bersetuju untuk mewartakan keseluruhan kawasan Rantau Abang dianggarkan 100 hektar yang kaya dengan tanaman pokok gelam sebagai kawasan hutan simpan sepenuhnya.

"Dahulu kita ambil sebahagian sahaja (diwartakan kawasan hutan simpan), sekarang sepenuhnya kerana hutan pokok gelam ini merupakan suatu keunikan yang lazimnya hanya terdapat di Terengganu," katanya.

Sementara itu berhubung cadangan Pulau Bidong diwartakan sebagai pusat pembiakan terumbu karang secara komersial, Ahmad berkata kerajaan negeri sedang menunggu butiran terperinci daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung cadangan itu.

"Kementerian terbabit perlu kemukakan usul kepada kerajaan negeri dahulu kerana kita masih tidak jelas tentang manfaat yang bakal dinikmati nelayan menerusi pembiakan terumbu karang itu.

"Keputusan lanjut akan dibuat berasaskan laporan daripada Jabatan Perikanan dan sekiranya mereka kata boleh dilaksanakan barulah kita setuju kerana kerajaan negeri tidak mahu masalah lain timbul terutama isu pencemaran dan sebagainya," katanya.

Semalam Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat pulau bekas penempatan pelarian Vietnam era 70-an hingga awal 90-an itu berkata kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai pusat pembiakan terumbu karang secara komersial.

-- BERNAMA


Dicatat oleh Unknown di 6:17 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN(SABK) - TERMASUK SEKOLAH MENENGAH AGAMA


PENGENALAN

  1. Berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
  2. Ditadbir oleh KPM
  3. Pemilika tanah dan bangunan dikekalkan
  4. Kurikulum agama negeri dikekalkan
  5. Menerima pelbagai kemudahan

TUJUAN

  1. Mempertingkatkan kualiti pengurusan pentadbiran
  2. Mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
  3. Mempertingkatkan kualiti pengurusan sumber manusia
  4. Mempertingkatkan kualiti prasarana dan kemudahan

KELEBIHAN

KELEBIHAN DIDAFTARKAN SEBAGAI SABK
  1. Kepada sekolah
    1. Menerima bantuan sumbangan bagi urusan pentadbiran sekolah
    2. Menerima bantuan modal bagi menampung keperluan pembangunan fizikal sekolah
    3. Meneriama bantuan isentif (SAR sahaja) setelah Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani
    4. Menerima guru terlatih sekiranya guru sedia ada tidak mencukupi
    5. Kurikulum agama dan pelaksanaan Sijil Tinggi Agama (STAM) dikekalkan
  2. Kelebihan kepada guru dan kakitangan
    1. Berpeluang diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan
    2. Berpeluang menikmati gaji dan elaun yang setaraf dengan kelayakan
    3. Berpeluang mendapat kenaikan pangkat
    4. Berpeluang mendapat kemudahan kerajaan
    5. Berpeluang mengikuti kursus ikhtisas
    6. Berpeluang melanjutkan Pelajaran
    7. Berpeluang untuk ikut serta dalam aktiviti KPM
  3. Kelebihan kepada murid
    1. Berpeluang mendapat bantuan
    2. Berpeluang bersaing dengan murid-murid aliran perdana
    3. Berpeluang untuk ikut serta dalam aktiviti anjuran KPM
    4. Berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah KPM yang terbaik
    5. Berpeluang mendapat pendidikan yang lebih berkualiti

SYARAT PENDAFTARAN

  1. Sudah berdaftar dengan Jabatan Agama Negeri (JAIN)
  2. Melaksanakan sesi persekolahan sepenuh masa
  3. Menggunapakai dwi-kurikulum (kurikulum agama dan kurikulum kebangsaan)
  4. Mempunyai murid sendiri yang mengambil peperiksaan awam KPM
  5. Mendapat persetujuan semua pihak yang berkepentingan terhadap sekolah<
  6. Mempunyai bangunan sendiri
  7. Bangunan dibina di atas tapak tanah yang berstatus wakaf
  8. Memenuhi syarat keselamatan, kesihatan dan perancangan Pihak Berkuasa Tempatan
  9. Bilangan murid melebihi 150 orang
  10. Tidak menanggung hutang

CARA MEMOHON

  1. Menghantar surat permohonan dan salinan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau pihak berkuasa agama negeri kepada BPI(Bahagian Pendidikan Islam)
  2. Menghantar profail sekolah, senarai nama ahli lembaga Pengelola Sekolah, guru, kakitangan dan murid beserta salinan dokumen geran tanah, pelan sekolah dan Sijil Pendaftaran sekolah yang disahkan
  3. Menyemak dan mempersetujui draf MoU yang dimemukakan oleh KPM
  4. Menghantar surat persetujuan terhadap draf MoU kepada KPM
  5. Menandatangani dokumen MoU
  6. Mengisi borang pendaftaran sekolah
Dicatat oleh Unknown di 5:48 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

KEM KOMPUTER KEPADA PELAJAR SMAT

Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut telah dipilih sebagai tuan rumah Kem Komputer Sekolah-Sekolah Menengah Agama Terengganu Tahun 2014. Kem ini berlangsung pada 24 - 26 Jun 2014. Seramai 60 orang murid dari semua sepuluh buah sekolah menengah agama negeri Terengganu menyertai kem ini. Mereka terdiri daripada 30 orang murid lelaki dan 30 murid perempuan. Kem ini juga disertai oleh 20 orang guru. Semua peserta kem menginap di Kompleks Rakan Muda, Besut.
Dicatat oleh Unknown di 1:40 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Pengurusan Sekolah Agama Di Terengganu Memuaskan

Pengauditan dijalankan antara Ogos hingga November 2013 mendapati pengurusan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu adalah memuaskan dari segi prestasi pengajaran dan pembelajaran.

Ini turut meliputi prestasi kemudahan sekolah dan asrama serta prestasi pengurusan aset, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.
SMAN merupakan institusi pendidikan menengah milik kerajaan negeri Terengganu dan diuruskan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Masjid (Jabatan) di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Laporan yang disediakan Bernama semalam menyebut, pihak audit mengesyorkan pencapaian prestasi SMAN boleh ditingkatkan melalui penambahbaikan beberapa kelemahan seperti jadual perancangan dan laporan pelaksanaan program kecemerlangan pelajar yang lebih terperinci.
Pada tahun 2006, kerajaan negeri telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan bagi memperkasakan pengurusan SMAN dengan menjadikannya Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Melalui MoU itu, SABK menerima sumbangan daripada kerajaan Persekutuan seperti bantuan perkapita, gaji guru dan kakitangan, makan dan minum penghuni asrama, perkhidmatan kebersihan dan keselamatan sebagimana ditetapkan di bawah Akta Pendidikan 1996.
Selain itu SABK turut melaksanakan Kurikulum Kebangsaan mengikut standard ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan selain melaksanakan Kurikulum Pelajaran Agama merangkumi Kurikulum Pelajaran Menengah Al-Azhar (Thanawi) dan Kurikulum I’dadi yang ditentukan oleh kerajaan negeri.
Terdapat 10 buah SMAN di Terengganu terdiri daripada sebuah sekolah bertaraf Sekolah Berasrama Penuh dan sembilan Sekolah Menengah Agama Harian.

Dicatat oleh Unknown di 1:31 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Selasa, 24 Jun 2014

BIODATA DAN SEJARAH RINGKAS NABI MUHAMMAD S.A.W

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ( نبي محمد صلى الله عليه وسلم ) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia.  Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. 



Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.

Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Nabi Muhammad S.A.W merupakan Rasul dan Nabi terakhir bagi umat manusia dan seluruh alam. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam. Beliau juga digelar Al Amin (الأمين) yang bermaksud 'yang terpuji'.
makam Nabi Muhammad S.A.W



BIODATA RASULULLAH S.A.W:

1. Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
2. Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yangmenyerang kota Mekah)
3. Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4. Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
5. Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
6. Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
7. Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8. Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)



SEJARAH RINGKAS RASULULLAH S.A.W: 

USIA 5 TAHUN
* Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.

USIA 6 TAHUN
* Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
* Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
* Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
* Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
* Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
* Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
* Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
* Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
* Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
* Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
* Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
* Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
* Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
* Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
* Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
* Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
* Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
* Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
* Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH S.A.W
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam’ah
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10.Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’



Nabi Muhammad s.a.w juga mendapatkan julukan Abu al-Qasim yang bererti "bapak Qasim", kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah memiliki anak lelaki yang bernama Qasim iaitu anak baginda bersama Khadijah, tetapi ia meninggal dunia sebelum mencapai usia dewasa. 

Dicatat oleh Unknown di 6:05 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest
Catatan Terbaru Laman utama
Langgan: Catatan (Atom)

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman



PAUTAN

  • smasid
  • khairiah
  • ladang
  • smaasza
  • mahmudiah
  • maarif
  • sma marang
  • al-falah

mutiara kata

  • Manusia itu jika kita terlalu mencintainya akan merana, buta panduan.kerana manusia hidupnya takkan kekal.Allah itu jika terlalu mencintaiNya akan bahagia selamanyakerana dia maha abadi

Mengenai Saya

Unknown
Lihat profil lengkap saya

Arkib Blog

  • ▼  2014 (7)
    • ▼  Jun (7)
      • 6,000 PELAJAR MOHON SEKOLAH AGAMA
      • Dilema guru Sekolah Menengah Agama negeri Terengganu
      • Terengganu Naikkan Biasiswa Pelajar Sekolah Meneng...
      • SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN(SABK) - TERMASUK SE...
      • KEM KOMPUTER KEPADA PELAJAR SMAT
      • Pengurusan Sekolah Agama Di Terengganu Memuaskan
      • BIODATA DAN SEJARAH RINGKAS NABI MUHAMMAD S.A.W
Imej tema oleh ULTRA_GENERIC. Dikuasakan oleh Blogger.